Remaja hilang sejak lima hari lalu, ditemui lemas

Remaja hilang sejak lima hari lalu, ditemui lemas

Kuala Penyu: Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di pantai sebuah pusat perangainan di Kampung Kenunok, di sini, sejak lima hari lalu, akhirnya ditemui meninggal dunia, malam tadi.

Mangsa, Edward Owan, 17, ditemui penduduk Kampung Tempurong, sejauh 7.89 kilometer dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di pesisir pantai Batu Luang. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ketua Kampung Tempurong, di sini, yang memaklumkan penemuan satu mayat lelaki.

Katanya, mayat berkenaan dilaporkan ditemui di kawasan pesisiran Pantai Batu Luang, di sini, pada jam 9.55 malam.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi penemuan.

“Pasukan operasi terus mengambil mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat berkenaan disahkan sebagai mangsa selepas proses pengecaman yang dilakukan di hospital oleh keluarganya.

“Operasi kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.56 malam,” katanya.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, mangsa dilaporkan bersama enam lagi rakannya berada di pusat peranginan di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di pesisir pantai berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|