Bantuan membawa keluar mayat warga emas

Bantuan membawa keluar mayat warga emas

Penampang: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di Kampung Kipuovo, Jalan Tambunan-Penampang, di sini, malam tadi.

Mangsa yang berusia 71 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di dalam kawasan kebun kira-kira 500 meter dari jalan utama dan memerlukan bantuan untuk dibawa keluar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 malam.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Bilik kawalan JBPM Penampang menerima panggilan daripada Balai Polis Penampang yang memohon bantuan membawa keluar mayat dari kawasan kebun berkenaan.

“Pasukan bomba yang hadir di lokasi kemudiannya bersama pasukan polis mengangkat mayat berkenaan menggunakan ‘stretcher’ sejauh 500 meter hingga ke jalan besar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.20 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|