Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

Keningau: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Kampung Baru Durok, di sini, petang hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Al Sharil berusia 16 tahun dipercayai mandi bersama keluarganya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.47 petang.

Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan lemas di sungai ketika menjalankan aktiviti mandi-manda bersama keluarga.

“Pasukan bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat mangsa seterusnya membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar pesisir sungai,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa belum ditemui dan operasi ditangguh pada 7.15 malam tadi.

“Operasi SAR ditangguh dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|