Bina segera jambatan konkrit Kampung Mendulong

Sipitang: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi digesa supaya membina semula jambatan konkrit Kampung Mendulong yang musnah akibat banjir pada akhir tahun lalu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sani Miasin berkata, jambatan Sungai Muaya, Sipitang yang menghubungkan penduduk musnah akibat dihanyutkan arus deras ketika banjir besar melanda daerah ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sani Miasin

Katanya, jambatan itu digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan akitiviti harian seperti pertanian, menghantar anak-anak ke sekolah terutama penduduk kampung yang tinggal di seberang sungai dan perumahan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Tambahnya lagi, kerosakan pada jambatan itu menyukarkan penduduk kampung memandangkan jalan raya yang ada agak jauh iaitu kira-kira 15 kilometer dan penduduk terpaksa melalui beberapa kampung.

Sani (dua dari kiri) meninjau jambatan kontrir Kampung Mendulong yang musnah akibat banjir.

“Perkara ini (jambatan musnah) telah saya laporkan kepada pihak JKR pada 29 Disember 2021 setelah melawat dan meninjau keadaan jambatan itu selepas menerima aduan daripada pemimpin setempat dan penduduk kampung ketika itu.

“Namun sehingga hari ini setelah lebih empat bulan berlalu, masih belum ada tanda-tanda tindakan diambil oleh pihak berkenaan, termasuk Pejabat Daerah Sipitang supaya jambatan itu dapat dibina semula dengan segera untuk kemudahan penduduk kampung,” katanya selepas meninjau jambatan kampung itu kali kedua, baru-baru ini.

Sani berharap, Pengarah JKR dan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri segera mengambil tindakan membina semula jambatan konkrit yang baharu.

“Jika pembinaan jambatan baharu perlu mengambil masa yang lama dan memerlukan kos yang tinggi, syarikat konsesi dan JKR wajar membina jambatan gantung sebagai alternatif jangka pendek untuk kegunaan penduduk kampung.

“Sementara menunggu peruntukan, bina dulu jambatan gantung yang boleh digunakan oleh penduduk kampung dan juga dapat dilalui oleh motosikal,” katanya.

Ujarnya lagi, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu wajar membantu untuk mendapatkan peruntukan segera demi rakyat yang mereka diwakili.

Sani dalam pada itu turut menggesa supaya JKR memantau kerja penyelenggaraan jalan raya yang dilakukan oleh syarikat konsesi memandangkan terdapat aduan daripada orang awam bahawa kerja yang dilakukan tidak berkualiti.

“JKR juga perlu bertindak proaktif membaiki segera jalan-jalan yang rosak dan berlubang demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Terdapat masalah kerosakan jalan raya yang sudah berlaku bertahun-tahun lamanya tanpa pembaikan. Jangan tunggu hingga kena kritik atau viral dalam media sosial baru bertindak, ini akan menjejaskan nama baik kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).

“Pejabat Daerah dan jabatan serta agensi kerajaan yang lain di Sipitang juga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya apabila menerima aduan dan laporan berhubung pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|