Penunggang, pembonceng parah dirempuh lori 8 tan

Tambunan: Seorang penunggang dan pembonceng motosikal parah selepas dirempuh sebuah lori 8 tan dalam kejadian di Jalan Keningau-Tambunan, berhampiran Kelab Golf Tambunan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai berusia belasan tahun terbabit dilaporkan patah tulang bahu dan cedera di kepala.

Mangsa diberi rawatan awal pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital. Pix Ihsan Bomba 

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bergerak dari arah Tambunan menuju ke Keningau.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai cuba masuk ke sebuah simpang di jalan berkenaan.

“Dalam masa sama, pemandu lori juga cuba memotong motosikal berkenaan namun disebabkan jarak terlalu hampir, pemandu lori gagal mengelak kedua-dua mangsa.

“Akibat kejadian itu, lori 8 tan berkenaan terus merempuh kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Honda EX-5,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, penunggang motosikal patah tulang bahu dan kini dirawat di Hospital Tambunan.

Manakala katanya, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan parah di kepala terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan, kejadian didapati disebabkan oleh kecuaian pemandu lori yang merempuh kedua-dua mangsa dari arah belakang.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|