Arthur sewa dua helikopter hantar guru kembali ke sekolah pedalaman

Keningau: Prihatin dengan nasib lapan guru yang terpaksa berjalan kaki untuk kembali bertugas ke kawasan pedalaman, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup mengambil inisiatif menyewa dua helikopter untuk menghantar guru berkenaan kembali ke sekolah, hari ini.

Lapan guru berkenaan akan memulakan tugas mereka esok di sekolah sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan, Nabawan.

Arthur menghantar guru-guru yang bertugas di Nabawan dengan menaiki helikopter yang disewa khas untuk kembali ke kawasan bagi memulakan sesi persekolahan esok.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, dua pesawat khas disewa untuk kegunaan lapan guru itu kembali ke kawasan mereka tanpa melalui jalan darat yang terputus akibat bencana banjir baru-baru ini.

“Saya berada di lapangan terbang Keningau untuk menghantar balik guru-guru yang akan kembali bertugas di SK Pangaraan dan sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan.

Arthur bertemu dengan guru-guru sebelum berangkat ke tempat bertugas dengan menaiki helikopter di Keningau.

“Saya telah menyewa dua helikopter pesawat khas untuk lapan guru balik ke kawasan tersebut tanpa melalui jalan dan sungai yang terputus akibat bencana banjir luar biasa yang baru-baru berlaku di kawasan itu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook rasminya sebentar tadi.

Beliau berkata, biasanya guru-guru di kawasan itu akan mengambil masa tiga hingga enam jam perjalanan ke sekolah masing-masing bergantung dengan keadaan cuaca ketika itu.

“Tetapi banjir luar biasa baru-baru ini telah menyebabkan infrastruktur jalan penghubung ke kawasan itu putus dan menyebabkan mereka terpaksa berjalan kaki.

“Seperti yang telah diumumkan, peruntukan kecemasan telah diluluskan oleh Perdana Menteri untuk pembaikan infrastruktur yang telah rosak akibat bencana banjir.

“Pegawai-pegawai teknikal pun sudah membuat lawatan tapak lokasi yang berkaitan dan untuk maklumat terkini, pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan juga SK Layon telah mula beberapa hari yang lalu walaupun pegawai dan pekerja menghadapi kekangan cuti perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kerja pembaikan yang lain akan menyusul dalam masa terdekat.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan batasan tapi kita akan usahakan sebaiknya untuk menyegerakan semua kerja pembaikan yang diperlukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|