Sandakan: Dua pemandu ditahan selepas disahkan memandu dengan paras alkohol tinggi dalam operasi yang diadakan di sekitar pusat bandar dan Batu 3, Jalan Utara, di sini, semalam.
Dalam operasi Op Samseng Jalanan/Mabuk bermula jam 10 malam itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan turut mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, operasi diadakan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang secara berbahaya atau dibawah pengaruh alkohol.
Katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 65 kenderaan dan 75 individu diperiksa.
“Hasil pemeriksaan ini, sebanyak 16 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu antaranya ubahsuai ekzos, gagal tunjuk lesen, tiada lesen memandu dan tiada lesen GDL.
“Manakala dua lagi pemandu turut menjalani ujian kandungan alkohol dalam nafas menggunakan alat SD2+,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Fuad berkata, dua pemandu terbabit terus ditahan dan dibawa ke IPD Sandakan untuk siasatan kemudian dibebaskan.
Menurutnya, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.
Sementara itu, Abdul Fuad berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menggunakan M-COPS untuk pemeriksaan Sistem PDRM (Saman) dan Sistem JPJ (Lesen memandu, cukai jalan, pemilik kenderaan) serta semakan waran tangkap.
Katanya, usaha penguatkuasaan seperti ini akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah dan membanteras kegiatan samseng jalanan dan mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
“Ia bagi memastikan pengguna jalan raya lain tidak menjadi mangsa kepada aktiviti samseng jalanan dan pemandu mabuk ini.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk menghindari sebarang aktiviti lumba haram, aktiviti menguji kelajuan dan memandu semasa dibawah pengaruh alkohol.
“Jangan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bersamalah berusaha menjadikan jalanraya supaya selamat digunakan,” katanya.
-Deasoka