Pupuk perpaduan melalui sambutan Aidilfitri – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Rakyat Malaysia di Sabah diseru mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk bersama-sama memupuk nilai kasih sayang dan perpaduan di antara satu sama lain selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat di negara ini khususnya di Sabah perlu bersatu untuk membangunkan negeri bagi mencapai Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Bung Moktar melayan tetamu pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamanannya di Luyang, Kota Kinabalu.

“Sambutan Aidilfitri bukan sahaja perayaan agama khususnya bagi masyarakat Islam tetapi juga kesempatan bagi semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini untuk meraikan bersama,” katanya pada majlis rumah terbuka hari Aidilfitri di kediaman beliau di Luyang, dekat sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata sambutan Aidilfitri tahun ini menampakkan keceriaan setelah dua tahun masyarakat di negara ini tidak dapat meraikan dalam susana yang lebih meriah ekoran penularan pandemik Covid-19.

Bung Moktar bersama isteri, Datin Seri Norasiddah melayan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau di Luyang, Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah tahun ini apabila negara beralih ke era endemik dan penurunan kes Covid-19, kita ada kelonggaran sedikit untuk mengadakan majlis rumah terbuka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan ini memberi ruang kita berkumpul beramah mesra dan mengeratkan hubungan silatulrahim walaupun diadakan dalam skala kecil,” katanya.

Sambil berharap kes penularan Covid-19 akan terus berkurangan dan hilang, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap keadaan akan terus pulih dan ia membolehkan kerajaan negeri untuk memberi fokus sepenuhnya bagi membangunkan negeri ini.

Bung Moktar bersama sebahagian pemimpin yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri kerajaan negeri.

“Dalam masa dua tahun kita memberikan tumpuan untuk menjaga kebajikan rakyat yang terjejas kesihatan dan ekonomi mereka ekoran penularan pandemik Covid-19, justeru dengan penurunan kes-kes harian Covid-19 kerajaan akan lebih memberikan tumpuan untuk merangka dan melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk membangun ekonomi negeri dan kesjehetaraan rakyat,” katanya.

Semalan, Bung Moktar turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Sabah International Convention Centre (SICC) yang turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor serta ahli jemaah Kabinet negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|