Lahad Datu: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi berpendapat undang-undang anti lompat parti tidak wajar dilaksanakan di negara ini selain tidak perlu dibahaskan.
Beliau berkata, pembentangan RUU itu bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan memilih yang sepatutnya dimiliki setiap individu sama seperti kebebasan diamalkan di negara maju yang lain.
Berikutan itu, katanya, beliau tidak bersetuju terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bakal dibentangkan di Parlimen kerana perkara itu bertentangan dengan hak wakil rakyat untuk memilih tindakan yang difikirkan betul.
“Saya tidak bersetuju bukan kerana saya juga ‘melompat’ tetapi ia adalah hak wakil rakyat. Wakil rakyat berhijrah ke parti lain untuk memperkembang dan menyelesaikan masalah rakyat, pemimpin macam kita melompat demi rakyat.
“Kalau di negara lain bercakap mengenai hak kebebasan dan sebagainya, kita di Malaysia pun bercakap pasal hak kebebasan tetapi mengapa perlu dihalang orang yang berhijrah demi kepentingan rakyat dan negara?,” katanya ditemui selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan kawasan Segama, di sini, hari ini.
Mohammadin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama adalah antara bekas pemimpin Parti Warisan (WARISAN) yang keluar parti pada tahun lalu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Sementara itu, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu bersetuju jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal pada bila-bila masa sekarang jika perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri.
Beliau turut menimbangkan untuk bertanding pada PRU-15 itu bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lahad Datu yang dimenanginya pada PRU 2018 jika ada permintaan dan keadaan kesihatannya mengizinkan.
-Deasoka