Dua lelaki cedera dapur hotel terbakar

Kota Kinabalu: Seorang pekerja hotel melecur manakala rakannya cedera selepas dapur di sebuah hotel, di sini, terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Nuzul dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai David hanya cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang.

“Menurut laporan, kebakaran dapur akibat daripada kebocoran gas memasak dan api berjaya dipadamkan dan injap gas berjaya ditutup pekerja hotel berkenaan sebelum pasukan bomba tiba.

“Bagaimanapun, terdapat dua mangsa dilaporkan cedera. Seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans dan seorang lagi hanya cedera ringan namun tidak mahu dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, pihak bomba hanya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.37 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|