Tawau: Kerajaan pusat dan negeri digesa menyelesaikan isu tuntutan waris kesultanan Sulu ke atas Sabah dengan segera demi menjaga kedaulatan negara.
Ia susulan laporan baru-baru ini berkaitan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dirampas waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion daripada Malaysia.
Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Rina Jainal, berkata kerajaan perlu membuat siasatan lanjut mengikut perundangan sedia ada bagi memastikan isu itu diselesaikan sepenuhnya.
“Untuk isu ini kerajaan Malaysia perlu melakukan siasatan lebih lanjut untuk memastikan kebenarannya, begitu juga di pihak kita.
“Kita juga mengharapkan Ketua Menteri cuba memberikan pendekatan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini kerana kita sebagai rakyat Sabah sudah tentu tidak mahu terus dibelenggu dengan tuntutan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan kejohanan sukan olahraga tahunan SMK Jambatan Putih Kali Ke-18 di Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.
Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah bersatu untuk mempertahankan kedaulatan negeri ini.
“Ini juga adalah satu hikmah kepada rakyat Sabah supaya bersatu padu untuk menepis apapun tuntutan yang membelenggu orang Sabah sendiri.
“Oleh itu saya berharap Ketua Menteri dapat melakukan pendekatan yang terbaik dan apapun keputusannya kita mengharapkan supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan sewajarnya,” katanya.
-Deasoka