CIQS Bantul bakal bantu masyarakat di Pagalungan

CIQS Bantul bakal bantu masyarakat di Pagalungan

Nabawan: Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bantul bukan saja bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini tetapi juga membantu masyarakat di pedalaman terutama di kawasan Pagalungan melakukan pelbagai urusan membabitkan dokumen pengenalan diri penduduk di kawasan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembinaan CIQS yang dibangunkan di kawasan kecil Bantul itu akan bermula tidak lama lagi.

“Kita lakukan ini kerana isu keselamatan, kita tidak mahu ada orang yang masuk dari sebelah sana (negara jiran) tanpa menggunakan dokumen yang sah.

“Pengesahan dokumen-dokumen untuk masuk memerlukan satu kompleks yang boleh menentukan sesiapa yang keluar masuk dan ia perlu berdaftar kerana pendataan amat mustahak sekali,” katanya kepada pemberita pada lawatan beliau ke lokasi CIQS dekat sini, hari ini.

Katanya lagi, lawatannya itu juga bertujuan untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar supaya tidak lagi perlu ke tempat yang jauh untuk membuat sebarang laporan membabitkan kelahiran, kematian atau jenayah.

“Kita boleh menggunakan fasiliti yang ada apabila kita membangunkan juga balai polis di kawasan itu nanti kerana balai polis di situ akan kita pertingkatkan supaya boleh menerima laporan kelahiran dan juga kematian.

“Ini juga kita akan jadikan wakil kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila semua ini telah diberikan pengesahan oleh balai polis tersebut maka kita juga akan membenarkan dan memudahkan mereka membuat pasport antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan tidak menyisihkan rakyat yang tinggal di pedalaman dan kemudahan yang sama turut diberikan kepada mereka.

“Semua kemudahan ini perlu bagi mereka yang duduk di pedalaman seperti kawasan ini. Kita tidak akan meninggalkan mereka yang jauh di pedalaman begitu saja. Ini adalah peluang di mana ia akan membolehkan pembangunan di kawasan berkenaan dan sebagai bukti keprihatinan kita kepada mereka yang di pedalaman.

“Ia bukan dipertanggungjawabkan hanya di kementerian saya saja tetapi juga di seluruh kementerian di negara kita untuk memastikan kerjasama untuk kawasan pintu masuk negara benar-benar kita jadikan tempat pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ditanya bila pembinaan CIQS itu bermula, Hamzah berkata, pihaknya masih menunggu proses berkaitan tanah selesai sebelum tender dilakukan.

“Kita sudah minta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) percepatkan dan jika cepat pada tahun ini, jadi tahun ini juga kita panggil tender.

“Cuma kita sudah kenal pasti kawasan tadi melalui pemantauan udara menggunakan helikopter dan kita lihat kawasan sebelah Indonesia sudah dimulakan (pembangunan), di kawasan kita belum lagi, sebab itu saya akan percepatkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|