Pusat Informasi Pelancongan akan dibina di Kampung Tajau Laut, Kudat – Jafry

Pusat Informasi Pelancongan akan dibina di Kampung Tajau Laut, Kudat – Jafry

Kudat: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) meluluskan RM109,240 untuk membina Pusat Informasi Pelancongan di Kampung Tajau Laut, di sini.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata ia antara usaha berterusan kementerian untuk menyalurkan maklumat berkaitan destinasi menarik di sekitar daerah ini seperti pantai, pulau, tempat bersejarah dan budaya tradisi masyarakat terutama etnik Rungus.

Jafry meninjau lokasi pelancongan di Kudat.

“Kewujudan pusat ini memudahkan pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan informasi terperinci mengenai sesuatu kawasan pelancongan sekali gus meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke daerah ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah ini, semalam.

Lawatan beliau bermula di Kampung Tajau Laut, Rumah Panjang Rungus di Kampung Bavanggazo dan berakhir di Sumangkap Gong Factory.

Katanya, berdasarkan tinjauan berkenaan, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti berkembang dengan baik, namun ada beberapa kemudahan infrastruktur yang perlu dinaik taraf untuk memberikan keselesaan kepada pelancong.

“Oleh itu, kementerian menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengadakan sesi libat urus bersama persatuan dan komuniti kampung untuk membantu mengenal pasti bantuan yang diperlukan bagi membangunkan produk pelancongan yang ada di kawasan ini,” katanya.

Tambah Jafry, KEPKAS sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan bagi membangunkan industri pelancongan yang berpotensi sekali gus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, sehingga kini peruntukan yang disalurkan untuk memperkasa kawasan pelancongan di Kudat membabitkan lebih RM1.6 juta.

“Antaranya termasuk pembinaan Esplanade Sidek yang membabitkan kos RM1 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun ini.

“Selain itu, pembinaan Menara Tinjau Puncak Residen yang mendapat peruntukan di bawah kerajaan negeri dengan kos sebanyak RM638,078 sudah siap tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Jafry berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan infrastruktur dan kemudahan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan standard dan kualiti perkhidmatan serta produk pelancongan sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|