Keningau: Seorang wanita yang juga penjaga kepada sebuah premis hiburan di pekan Keningau, di sini, di tahan, selepas didapati beroperasi tanpa lesen, semalam.
Dalam operasi jam 2.20 pagi itu, polis turut memeriksa seramai 107 pengunjung pusat hiburan berkenaan namun tiada yang ditahan selepas didapati tiada melakukan sebarang kesalahan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata, operasi dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Katanya, semasa serbuan dijalankan, pusat hiburan berkenaan didapati masih memainkan muzik dengan kuat dan pelanggan juga sedang minum minuman keras di dalam premis.
“Secara keseluruhan seramai 107 pengunjung dan pekerja diperiksa membabitkan pecahan 80 lelaki dan 27 wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.
“Pemeriksaan kemudiannya dijalankan terhadap premis sebelum mendapati, pusat hiburan berkenaan beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Nor Rafidah berkata, seorang wanita tempatan berusia 20-an yang mengaku sebagai penjaga premis kemudiannya ditahan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan dijalankan berikutan operasi premis tanpa lesen yang sah dan siasatan dijalankan mengikut Ordinan Hiburan Awam.
“Beberapa peralatan muzik turut dirampas dan tangkapan terus dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Nor Rafidah menasihati orang ramai serta premis-premis hiburan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Malah katanya, setiap pusat hiburan juga digalakkan supaya sentiasa mematuhi masa operasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
-Deasoka