Beri ruang Jeffrey laksanakan tugas selesai isu PTI – Wiramuda STAR

Ranau: Semua pihak diminta supaya memberi ruang kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan untuk melaksanakan tugasnya dalam mencari penyelesaian terhadap isu kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Kong Soon Choi, berkata perbuatan memperlekeh usaha yang diambil Presiden STAR itu dan melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadapnya adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, tindakan beberapa pihak yang cuba memanipulasikan usaha pemimpin itu menerusi kenyataan tidak berasas, selain menyebarkan fitnah untuk mengelirukan rakyat amat dikesali.

“Baru-baru ini, tular di media sosial yang menyatakan kerajaan bakal mengeluarkan Kad Warga Asing yang mempunyai agenda kepentingan peribadi parti STAR dan GRS-BN. Namun ianya adalah tuduhan liar yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, sesi ‘town hall’ berkaitan isu PTI yang berlangsung baru-baru ini membabitkan beberapa agensi penguatkuasa jelas menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk mendapatkan penyelesaian tuntas berhubung isu itu.

Tegasnya, tuduhan yang mengatakan kad pengenalan kepada warga asing bakal dikeluarkan adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya usaha awal untuk membuat pendataan secara digital terhadap warga asing di Sabah antara strategi awal untuk mengenal pasti jumlah, lokasi serta dasar yang berkesan untuk menyelesaikan isu PTI di negeri ini.

“Semua pihak perlu memahami dengan lebih jelas kenapa kerajaan negeri perlu laksanakan pendataan secara digital terhadap Warga Asing di Sabah. Ia amat penting agar segala maklumat dapat disatukan dalam pangkalan data yang seterusnya memudahkan tindakan lanjut dilaksanakan secara lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga yakin dengan adanya kerjasama agensi-agensi penguatkuasa kerajaan oersekutuan dan negeri, isu kebanjiran PTI di negeri ini dapat ditangani dengan sempurna.

Jelasnya, isu PTI adalah isu global yang memerlukan kerjasama padu semua agensi penguatkuasa sama ada kerajaan pusat atau negeri malah penduduk tempatan sendiri.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan idea bernas yang boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada syor-syor penguatkuasaan menangani isu PTI.

“Namun ia mestilah dilontarkan secara profesional tanpa didorong dengan ideologi politik yang akhirnya hanya mengikut perasaan,” katanya.

Pada Februari lalu, kerajaan negeri bersetuju melantik Jeffrey sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah yang baru diwujudkan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan bagi mengumpul input daripada penguatkuasa undang-undang, pemain industri serta pemimpin politik dan komuniti berhubung cara terbaik menangani isu berkaitan pekerja asing dan keluarga mereka yang tiada dokumen perjalanan lengkap.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|