Cubaan seludup barang kawalan ke Filipina dirampas

Sandakan: Cubaan empat warga asing menyeludup keluar barang kawalan gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Laut Semawang, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus mengejar bot berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barang kawalan yang diletakkan di ruangan kargo bot berkenaan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap juragan dan tiga anak bot berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun itu turut mengaku semua barangan berkenaan cuba dihantar ke sebuah pulau di Filipina.

“Kedua-dua warga asing terbabit terus ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua barangan rampasan berkenaan terus dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM84,280 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|