LAVESTAR tampil bertenaga tewaskan SP Sipitang Legnd

Labuan: Pasukan Bola Sepak Veteran Labuan (LAVESTAR) meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan SP Sipitang Legend 4 – 1 dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, malam Sabtu lalu.

Pengurus pasukan, Dul Alias berkata LAVESTAR menampilkan gandingan pemain-pemain yang pernah beraksi untuk Labuan dalam pelbagai kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan termasuk Stephen Cup, Dunhill SAFA Cup, President Cup, FAM Cup dan Piala Malaysia era 70-an dan 80-an.

Pasukan SP Sipitang Legend (jersi biru).

Beliau yang juga bekas pemain pasukan Sabah era 80-an berkata perlawanan itu diadakan bukan sahaja untuk memberikan ruang dan peluang kepada bekas pemain menunjukkan kemampuan mereka tetapi lebih utama mahu merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dari Sipitang.

“Inilah ruang dan peluang kami bekas pemain bertemu semula dengan rakan-rakan dari Sipitang sambil memperagakan kelibat ketika kami pernah mewakili Labuan dan Sabah pada era 70-an dan 80-an dahulu,” katanya.

Selain beliau, LAVESTAR dibarisi Ahmad Jasad Salali selaku ketua pasukan, Abdullah Awang Adi, Majin Basayu, Ahmad Suhaili, Abdul Latif Nordin, Zaini Alias, Datu Rahman Karim, Ismail Din, Syam, Radzi, Adanan, Nasir, Aszrul, Hamidon Wahid, Erma, Zaini @ Kuchai, Hassan Lair, Haji Imran, Mulyadi, Manja, Sufian, Iryadi, Wahid, Jeffrey dan Zainuddin.

Dul Alias mengucapkan terima kasih kepada pasukan veteran dari Sipitang itu kerana sudi mengadakan perlawanan dengan LAVESTAR.

Beliau yakin kehadiran pasukan dari luar akan membantu menjana ekonomi dan industri pelancongan tempatan.

“Ini juga tujuan kami membawa pasukan dari luar untuk menjana ekonomi dan industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Turut menyaksikan perlawanan itu ialah bekas pemain Labuan dan Sabah era 80-an, Longinus Pius dan rakannya, Rashid Aliskah yang pernah beraksi di Razak Cup pada 1977.

Tambah Dul Alias, LAVESTAR akan berhadapan tiga lagi aksi menentang Tigers Old Boys Beaufort pada 19 Jun, Bema Veteran FC Putatan (2 Julai) dan Millenium FC Port Dickson (26 Ogos).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|