Kota Kinabalu: Dua wanita ditemui selamat selepas tersesat hampir empat jam ketika menuruni Bukit Helang di Kampung Kebagu, Manggatal, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 26 dan 27 tahun itu ditemukan pasukan penyelamat di kawasan Bukit Helang pada jam 8.33 malam.
Kedua-dua mangsa dikatakan mula mendaki Bukit Helang kira-kira jam 4 petang sebelum tersesat ketika menuruni bukit berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.15 petang daripada salah seorang mangsa terbabit.
Katanya, mereka memaklumkan gagal menjumpai jalan keluar ketika menuruni bukit berkenaan.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat.
“Pencarian yang turut dibantu anggota polis dan penduduk kampung akhirnya menemui mangsa dalam keadaan selamat pada 8.33 malam tadi di kaki Bukit Helang,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba mengiring kedua-dua mangsa turun ke bawah bukit dengan selamat seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.03 malam,” katanya.
-Deasoka