PRU15: Warga emas turut bersemangat turun mengundi

PRU15: Warga emas turut bersemangat turun mengundi

Putatan: Selain golongan muda yang menjadi fokus utama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak dilupakan golongan warga emas yang tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Sadiah Idris, 73, tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, seawal jam 7.30 pagi dengan ditemani anak dan menantunya.

Beliau yang mengalami kesusahan berjalan terpaksa dibantu dengan menggunakan kerusi roda bagi memudahkan urusan pengundiannya.

“Sejak 2018 lagi saya tidak kuat untuk berjalan, naik tangga tidak boleh, duduk di bawah tidak boleh.

“Ini kali keenam saya mengundi di sini, dua kali bersama arwah ibu saya,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di SMK Putatan, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi yang ditemui, A. Manap bin A. Rahman, 72, berkata beliau datang bersama-sama isterinya ke pusat pengundian itu.

Katanya, siapa pun yang bakal menerajui kepimpinan negara, beliau berharap agar ia menekankan aspek ekonomi dan pendidikan.

“Saya berharap agar ia bersifat progresif, toleransi antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.

“Selain itu, saya harap kerajaan kali ini lebih stabil dan paling utama adalah menekankan aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen P. 173 Putatan menyaksikan perlawanan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahelmey Yahya; calon Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR), Awang Husaini Sahari; Warisan, Ahmad Mohd Said dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) – Pejuang, Poyne B Tudus @ Patrick Payne.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|