PRU15: Proses berjalan lancar setakat ini, terima kasih semua: BN Sabah

PRU15: Proses berjalan lancar setakat ini, terima kasih semua: BN Sabah

Kota Kinabalu: BN Sabah merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya para pengundi dan petugas SPR atas pelaksanaan proses buang undi di negeri ini.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, meskipun terdapat lokasi yang mengalami kesukaran akibat cuaca buruk dan banjir kilat, ketabahan semua haruslah menerima pujian.

“Setakat ini, hasil pemantauan kami, semua berjalan dengan lancar dan kita amat berterima kasih atas kesabaran para pengundi, petugas SPR, pasukan keselamatan atas komitmen diberikan.

“Kita juga turut bersimpati, terdapat beberapa kawasan pengundian yang berdepan cabaran banjir kilat dan kami amat menghargai komitmen anda.

“Buat pengundi yang masih belum menunaikan kewajipan, elakkan turun terlalu lewat kerana jangkaan kami hujan lebat akan berlaku di sebelah petang bagi kebanyakkan lokasi di Sabah, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, Raime berkata, pihaknya dalam masa sama bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku setakat ini.

“Kita juga mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan SPR dan pihak berkuasa.

“Semoga proses pembuangan undi pada hari ini terus berjalan lancar dan kepada yang telah mengundi, tahniah diucapkan kerana menunaikan kewajipan, “katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|