PRU15: UMNO Kalabakan yakin calon BN Kalabakan anak tempatan

PRU15: UMNO Kalabakan yakin calon BN Kalabakan anak tempatan

Tawau: UMNO Kalabakan meletakkan keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti itu untuk meletakkan pemimpin dari bahagian berkenaan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kalabakan.

Ketuanya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata beliau yakin calon bagi kerusi berkenaan diberikan dalam kalangan pemimpin bahagian dan bukannya dari luar seperti spekulasi yang tersebar sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya pucuk pimpinan akan mendengar keluhan dan pandangan daripada peringkat bahagian yang mahukan calon PRU15 dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO Kalabakan.

Katanya, setakat ini belum ada keputusan yang pasti, walaupun banyak spekulasi mengenai calon luar yang akan bertanding mewakili UMNO nanti.

“Bagaimanapun, jentera kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan kerana UMNO bergerak dalam satu pasukan.

“Jentera kita akan ikut kemahuan parti dan sudah pasti sedia membantu sesiapa sahaja calon yang dipilih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Maulidu Rasul Tabika KEMAS peringkat DUN Tanjung Batu, di sini hari ini.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa kepimpinan UMNO akan meletakkan calon daripada luar untuk bertanding di Parlimen Kalabakan pada PRU15 ini.

Menurutnya, dengan keahlian lebih 20,000 yang ada ketika ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada calon UMNO pada PRU nanti.

“Saya yakin pengundi sekarang sudah bijak menilai parti atau gabungan mana yang boleh membawa pembangunan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Suryady menyifatkan kenyataan bekas Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh yang mengatakan keahliannyaya digugurkan sebagai tidak betul.

Katanya, keahlian bekas Ahli Parlimen Kalabakan itu masih wujud, cuma ketika ini berada dalam status tidak aktif.

“Beliau sepatutnya tahu bahawa peringkat bahagian tidak mempunyai kuasa untuk mengugurkan mana-mana ahli UMNO dan semua keputusan tertakluk keputusan Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|