Saluran Khas B40 UMS: 171 pelajar ditawar lanjut pengajian

Saluran Khas B40 UMS: 171 pelajar ditawar lanjut pengajian

Kota Kinabalu: Seramai 171 pelajar B40 di Sabah menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Ambilan Saluran Khas B40 UMS sesi akademik 2022/2023.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, konsep turun padang dilaksana untuk sesi kemasukan itu agar dapat melihat keadaan persekitaran serta sosio ekonomi keluarga, selain dapat berjumpa sendiri dengan keluarga calon pelajar.

“Program ini diadakan hampir setiap tahun sejak 2013 bertujuan membantu calon-calon pelajar dari latar belakang sosioekonomi yang kurang berkemampuan atau dalam kategori keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada UMS mendekati pelajar yang mendapat tawaran kemasukan, bahkan juga memberi peluang UMS mendekati masyarakat bagi memberi penerangan berkaitan peluang dan kepentingan pendidikan kepada semua masyarakat di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat tawaran kepada pelajar ambilan saluran khas B40 UMS sesi akademik 2022/2023 bagi Zon Kota Belud di SMK Pekan Kota Belud, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan surat tawaran kepada 20 pelajar dari SMK Pekan Kota Belud dan SMK Taun Gusi sambil disaksikan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kasim berkata, sebanyak lima fakulti telah dipilih untuk menempatkan calon-calon B40 yang ditawarkan melalui saluran ambilan khas kali ini.

“Fakulti yang terlibat adalah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) dan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT).

“Saya sangat terharu mendengar semua cerita dan saya turut merasakan kegembiraan pelajar yang mendapat tawaran masuk ke universiti melalui kemasukan mod B40.

“Kepada pelajar, tahniah diucapkan dan teruskan kecemerlangan. Kepada Ibu bapa terima kasih di atas sokongan dan kasih sayang anda semua.

“Akhir sekali, terima kasih kepada pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat dalam mendidik pelajar-pelajar ini agar sentiasa teguh untuk belajar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|