PRU15: Sabah bukan lagi seperti ‘kerbau dicucuk hidung’

PRU15: Sabah bukan lagi seperti ‘kerbau dicucuk hidung’

Pensiangan: Sabah kini bergerak ke hadapan untuk menamatkan situasi ‘seperti kerbau dicucuk hidung’ oleh kuasa yang ada selama berdekad lalu.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, keadaan kini sudah mula berubah sejajar komitmen pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang konsisten memperjuangkan hak Sabah.

“Politik kita hari ini sudah berubah. Dahulu, kita tidak boleh bercakap mengenai hak-hak kita tanpa risiko diburu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sekarang Malaya mengejar kita dan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Pensiangan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sudah ada pencapaian positif, termasuk Sabah dan Sarawak kini disebut sebagai wilayah, tidak lagi menjadi dua negeri di persekutuan, satu langkah yang dilihat sebagai pengiktirafan kedudukan sebagai rakan kongsi yang sama rata.

Bagaimanapun, katanya, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan dan memerlukan ketekunan dari kerajaan dan pemimpin yang stabil.

Mengimbau kembali kenangan bagaimana beliau diburu untuk hak Sabah kira-kira tiga dekad lalu, Jeffrey berkata, perjalanan untuk memenuhi aspirasi negeri ini sepenuhnya masih belum berakhir.

“Kita harus tabah. Kita memerlukan pejuang untuk berjuang dalam kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu dikawal oleh kuasa luar. Kita mahu dipimpin oleh pejuang Sabah yang sejajar dengan GRS,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menjelaskan kekeliruan awam yang timbul mengenai penjajaran GRS, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Realitinya ialah kami mewarisi jenama politik dari masa lalu, namun kita mesti ingat bahawa politik di Sabah tidak sama seperti politik di Malaya.

“Kita inginkan jenama politik kita sendiri. Kita tidak lagi mahu ada tali terikat di hidung seperti kerbau dan ditarik. Kita mahu jadi seperti Sarawak. Kita adalah rakan kongsi Malaya tapi bukan di bawah mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya untuk bergerak ke arah percubaan mencapai visi itu, pemimpin Sabah mesti menyelaraskan perjuangan mereka dengan GRS.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerusi Parlimen Pensiangan dipertimbangkan untuk diberikan kepada GRS selaras dengan kehendak akar umbi untuk pertandingan mesra kerana PBRS bukan sebahagian daripada Kerajaan Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|