PRU15: Jawatan TPM bukan sekadar perhiasan – Yakub

PRU15: Jawatan TPM bukan sekadar perhiasan – Yakub

Kota Kinabalu: Sekiranya cadangan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dilaksana, pastikan ia bukan sekadar perhiasan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, beliau mengalu-alukan cadangan itu dan berharap agar ia dapat direalisasikan.

“Secara peribadi, saya rasa perkara ini sangat baik namun kita harapkan agar sekiranya perkara ini dapat dilaksankan, biarlah jawatan sebagai TPM itu mempunyai kuasa dan bukan sekadar perhiasan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri di The Pacific Sutera Resort, hari ini.

Ketika ditanya sekiranya cadangan itu mahupun calon sudah dibincangkan di peringkat negeri, beliau berkata setakat ini belum ada perbincangan berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata pengagihan kerusi di antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah pun dilakukan.

“Segala perbincangan mengenai pengagihan kerusi telah sampai ke puncak, hanya tinggal untuk dimuktamadkan sahaja.

“Berkenaan dengan calon, ia terpulang kepada parti masing-masing tetapi dalam perbincangan, kita telah juga menyatakan agar calon yang diletakkan, sama ada dalam kerusi ditandingi BN mahupun GRS, perlu dibincang bersama bagi memastikan calon terbaik bagi mewakili parti,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya akan mencadangkan nama calon TPM dari negeri ini yang dikenal pasti layak untuk menggalas jawatan berkenaan.

Menurutnya, ia sejajar dengan komitmen BN dalam merealisasikan perkara itu selepas ia dijadikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|