Program Digitasi Rekod dokumentasikan rekod Mahkamah Anak Negeri secara digital

Program Digitasi Rekod dokumentasikan rekod Mahkamah Anak Negeri secara digital

Kota Kinabalu: Program Digitasi Rekod dilaksanakan sebuah inisiatif pendigitalan sejajar dengan usaha mengintegrasikan infrastruktur digital merentasi sektor awam dan rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, ia melibatkan penyimpanan rekod-rekod lama Mahkamah Anak Negeri, bagi tujuan rujukan dan juga penyimpanan rekod.

“Penting untuk kita mendigitalisasikan dokumen-dokumen dalam simpanan MAN di negeri ini kerana saya melihat ianya masih berbentuk fizikal, seperti kertas walhal ada di antaranya yang sudah mencecah usia puluhan tahun.

“Jika dalam bentuk kertas, ianya akan dimamah usia kerana kertas akan reput dan rosak sehingga pada akhirnya dokumen itu tidak dapat digunakan sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri di The Pacific Sutera Resort, di sini, hari ini.

Yakub berkata, rekod-rekod dokumen yang disimpan secara fizikal, akan disimpan dalam pangkalan data secara digital dan ianya dikawalselia oleh pembangun sistem yang terdiri daripada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN).

Jelasnya, langkah-langkah keselamatan turut dilakukan bagi menangani risiko-risiko lain, termasuk penggodaman.

“JPKN mempunyai sebuah sistem perlindungan daripada risiko penggodaman yang sangat ketat buat masa ini.

“Pada masa yang sama, mereka akan sentiasa melihat dan memantau data-data ini selama 25 jam sehari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Digital berteraskan teknologi dan inovasi merupakan salah satu daripada lima pemboleh daya teras-teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya yakin dan percaya bahawa semua jabatan menyedari perkara ini dan sudah bersedia, malah ada yang sudah pun mengambil langkah ke arah tersebut.

“InsyaAllah kita akan menjadi sebuah kerajaan digital dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Senator Datuk Noraini Idris; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais dan Pengarah JPKN, Ernywati Dewi Abas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|