‘Saudin The Orangutan Whisperer’ jadi inspirasi generasi muda

‘Saudin The Orangutan Whisperer’ jadi inspirasi generasi muda

Kota Kinabalu: Kisah keberanian Saudin Labutau, orang Murut pertama menjejakkan kaki ke New York, Amerika Syarikat pada 1936 wajar dijadikan inspirasi kepada semua, khususnya generasi muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kisah Saudin yang berdepan banyak cabaran mengembara dari hutan Borneo ke New York, kira-kira 86 tahun yang lalu adalah sesuatu yang menarik.

Hajiji mendengar cerita James Julius Saudin sebelum tayangan dokumentari mengenai Saudin di UMS.

Berasal dari Kampung Ambual, Keningau, Saudin yang ketika itu berumur 26 tahun melakukan pengembaraan itu selepas dilatih oleh pasangan pembuat filem dokumentari terkenal pada masa itu, Martin dan Osa Johnson.

“Walaupun tiada pendidikan asas dia bukan seorang yang mudah ditakutkan. Dia berani dan suka kepada cabaran.

“Walaupun kerjanya ialah untuk menjaga seekor orang utan yang dinamakan Abai di New York, kita tidak dapat membayangkan semua rintangan yang Saudin tempuhi tinggal dalam dunia asing yang sangat jauh dari keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran pameran dokumentari ‘Saudin The Orangutan Whisperer’ dan ‘The Murut Journey to New York – 1936’ di Galeri Azman Hashim dan Auditorium Sekafi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beliau tidak teragak-agak memberikan sokongan padu selepas melihat paparan awal dokumentari berkenaan oleh penerbitnya yang juga waris Saudin yang datang berjumpanya bulan lalu.

Saudin meninggal dunia pada 1986.

“Ini adalah legasi Saudin, bukan saja kepada anak-anaknya tetapi keberaniannya seharusnya dicontohi oleh semua belia kita.

“Perlu sentiasa berani dengan hati yang waja apabila berdepan cabaran dan jangan berhenti belajar.

Hajiji turut memuji Rye Production Sdn Bhd dan semua yang terlibat dalam penerbitan dokumentari Saudin yang juga akan disiarkan di saluran History Channel Asia.

“Ini sesuatu yang sangat tidak ternilai harganya kerana bukan saja menceritakan kisah hidup Saudin tetapi juga menarik perhatian mengenai keunikan imej Borneo yang menjadikan Sabah destinasi pelancong,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|