Anak Sabah penyelidik pertama negara lakukan kajian di Antartika

Anak Sabah penyelidik pertama negara lakukan kajian di Antartika

Kota Kinabalu: Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Justin Sentian mencipta sejarah sebagai penyelidik pertama negara yang akan mengadakan kajian di Antartika.

Kajian yang dijadualkan berlangsung pada musim sejuk itu dijangka akan bermula pada April tahun hadapan.

Justin menjadi penerima One-off Overwinter Research Grant 2022 bernilai RM149,360 sempena sambutan ulang tahun ke-10 Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), baru-baru ini.

Dalam kenyataan YPASM, Justin akan mengadakan kajian untuk memahami proses perubahan iklim.

Katanya, kajian itu bertajuk “Tropospheric Ozone and Halocarbons Variations in the Antarctic Peninsula Under Extreme Weather Conditions”.

“Penyelidikan itu diadakan dengan kerjasama organisasi Instituto Antartico Chileno dan negara Chile.

“Prof Madya Dr Justin Sentian akan menjadi rakyat Malaysia pertama berkunjung dan tinggal di Antartika semasa musim sejuk untuk tempoh lima bulan bermula April 2023,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, YPASM juga berhasrat untuk merekodkan kejayaan itu ke dalam “Malaysia World Book Of Record” sebaik beliau pulang dari penyelidikan berkenaan.

Sementara itu, detik bersejarah itu dimemuatnaik di laman sosial facebook YPASM bersama foto penyerahan baju overwinter yang disampaikan Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPASM, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|