PRU15: Tindakan disiplin terhadap Rubin kan diambil sekiranya benar – Hajiji

PRU15: Tindakan disiplin terhadap Rubin kan diambil sekiranya benar – Hajiji

Papar: Tindakan disiplin akan diambil ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang sekiranya benar beliau terbabit dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Bagaimanapun, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya akan menunggu laporan penuh sebelum membuat keputusan lanjut.

“Kita akan lihat dahulu laporan lanjut, kalau dari segi gambar duduk dengan anak sahaja, kita tidak boleh ambil tindakan.

“Kita kena adil kepada semua, tetapi jika benar dia menyokong secara terang-terangan kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Tambahan SMK St Joseph Papar, di Dewan Terbuka SMK St Joseph, Papar, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta untuk mengulas seruan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meminta beliau mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hajiji memaklumkan bahawa Riduan telahpun meletak jawatan sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tenom sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.

“Riduan sudah meletak jawatan sebelum penamaan calon, jadi kita tidak boleh mengambil tindakan, kita tidak boleh halang,” katanya lagi.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah memberikan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan bangunan tambahan di SMK St Joseph, Papar.

Dalam majlis yang sama, beliau dalam ucapan perasmiannya telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi membekal meja, peralatan dan kerusi untuk kegunaan warga sekolah.

“Ia bagi memastikan anak-anak kita merasa selesa ketika berada di sekolah, kerana bagi saya, ini merupakan asas penting untuk pendidikan,” tambahnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|