PRU15: Tempoh dua minggu berkempen beri gambaran positif – Shahelmey

PRU15: Tempoh dua minggu berkempen beri gambaran positif – Shahelmey

Putatan: Selama hampir dua minggu berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pihaknya menerima respon yang mengalakkan.

Menurutnya, tempoh 13 hari itu telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan menziarah ke seluruh pelusuk kawasan Parlimen, daripada Taman Pantai Lok Kawi sehinggalah ke Pulau Gaya, dan bertemu rakyat.

Shahelmey berjumpa orang ramai ketika walkabout di sekitar Pekan Putatan.

“Saya melihat sambutan yang begitu positif sekali daripada rakyat ataupun pengundi-pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Perkara ini menambah kepada keyakinan dan semangat kita untuk menghadapi hari mengundi pada 19 November (esok).

“Boleh disimpulkan golongan-golongan atas pagar yang tidak aktif berpolitik, tetapi mereka mengikuti perkembangan, mereka mengenali saya selaku calon BN.

“Ini satu petanda lagi bahawa sambutan rakyat atau masyarakat di Parlimen Putatan terhadap BN begitu cerah sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi walkabout bagi menyantuni penduduk di sekitar pekan Putatan, di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat, dua perkara utama yang akan diberi tumpuan ialah menangani banjir dan penyediaan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Apa yang saya dahulukan adalah untuk melihat aspek-aspek bagaimana menangani risiko banjir kilat yang ada di Putatan.

“Seterusnya, kita akan berbincang dengan penduduk-penduduk di kawasan Parlimen Putatan untuk kita merancang pembinaan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menasihati kepada semua yang akan keluar mengundi esok agar merancang sebaiknya perjalanan, lebih-lebih lagi dalam tempoh Monsun Timur Laut.

“Saya berpesan kepada semua pengundi-pengundi agar dapat turun keluar mengundi awal bagi memastikan kita dapat mengundi awal, menunaikan tanggungjawab kita,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|