PRU15: Tekadkan undi BN, jangan hiraukan fitnah pembangkang – Raimie

PRU15: Tekadkan undi BN, jangan hiraukan fitnah pembangkang – Raimie

Tenom: Pengundi di kawasan ini diingatkan supaya tidak menghiraukan fitnah yang ditabur parti lawan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam membuat pilihan siapa yang akan diundi pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

Ketua UMNO Tenom, Datuk Raimie Unggi, berkata sebaliknya pengundi khususnya bagi Parlimen Tenom perlu membulatkan keputusan hanya mengundi calon BN, Jamawi Jaafar sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat nanti.

Katanya, pengundi di kawasan ini perlu berfikir secara bijak dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi dakyah dan fitnah yang ditabur parti lawan atau pihak pembangkang yang bertanding di Parlimen Tenom.

“Kita jangan lagi memikirkan soal fitnah yang ditabur pihak lawan seperti PH dan parti lain. Kita perlu berfikir secara bijaksana dalam membuat keputusan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya pada program kempen BN di Kemabong, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, turut merayu agar pengundi di kawasan ini memberi kemenangan kepada Jamawi selaku calon BN.

Katanya, BN mempunyai manifesto yang baik untuk rakyat sebagai pertimbangan yang wajar diberi perhatian oleh setiap pengundi dalam membuat keputusan demi kesenangan mereka pada masa depan.

“Kita mempunyai manifesto yang terbaik untuk rakyat dan atas sebab itu rakyat wajar memilih BN pada PRU15 ini supaya kebajikan mereka lebih terjamin selain memastikan kestabilan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Jelasnya, kemenangan BN di Tenom penting bagi mengembalikan daerah ini ke landasan pembangunan yang betul selepas jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14, memandangkan masih banyak yang perlu dilaksanakan seperti jalan raya dan elektrik selain yang paling penting pembangunan ekonomi.

Berikutan itu, katanya, BN meletakkan Jamawi dengan keyakinan terhadap kemampuan beliau sebagai orang muda dalam membawa perubahan di Tenom termasuk membantu golongan petani serta memajukan lagi sektor pertanian daerah ini yang sememangnya sinonim dengan Jamawi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|