PRU15: Suruhanjaya Tenaga Sabah akan diwujudkan April depan – Hajiji

PRU15: Suruhanjaya Tenaga Sabah akan diwujudkan April depan – Hajiji

Tawau: Satu usul Rang Undang-Undang (RUU) yang akan memberi laluan kepada pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada April depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dengan pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah, kerajaan negeri akan mengawal sepenuhnya pengurusan sumber tenaga, khususnya elektrik.

“Ini sebahagian daripada tuntutan kerajaan GRS-BN berkaitan hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada sesi bersama rakyat di Dewan SJKC Kung Ming, di sini, malam tadi.

Hadir sama ialah calon Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS menggesa pengundi di Tawau supaya mengundi dengan bijak dan memilih wakil yang dapat menjaga kebajikan mereka.

Katanya, bagi calon GRS Tawau, Su Fui, sebagai seorang yang dilahir dibesarkan di daerah ini, beliau lebih memahami keperluan rakyat Tawau.

Beliau berkata, kerjasama di antara GRS dan BN yang dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 adalah yang terbaik untuk Sabah bergerak ke hadapan.

“Ini satu-satunya cara kita membangunkan Sabah dan kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada undi untuk calon GRS-BN pada PRU15,” katanya.

Jelasnya, Parti Warisan (WARISAN) cemburu dengan kerajaan GRS-BN kerana membangunkan Sabah berlandaskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Mereka (WARISAN) tidak mempunyai perancangan seperti itu (ketika menjadi kerajaan), mereka tidak mempunyai program yang jelas atau platform.

“Namun, kerajaan GRS-BN ada SMJ, iaitu slogan pada jata negeri yang diformulasikan dengan mengambil kira manifesto kita yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, beberapa projek akan dimulakan pada tahun depan di Tawau termasuk pembinaan Jalan Utara Tawau dan Loji Rawatan Air Cintamata Tawau yang bernilai RM400 juta.

Katanya, dengan mengambil kira pembabitan Tawau dalam aspek kebudayaan, kerajaan negeri GRS-BN juga akan membina Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC).

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap peluang calon GRS-BN di Tawau dan Kalabakan yang diwakili Su Fui dan Andi Muhammad untuk memenangi kerusi masing-masing pada Sabtu ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|