Debat secara terbuka isu air

Debat secara terbuka isu air

Kota Kinabalu: Calon Pakatan Harapan, hari ini, membuka perlawaan kepada penyandang Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman untuk berdebat secara terbuka sebelum hari pengundian, Sabtu ini.

Ia bagi membicarakan isu air yang tidak berkesudahan di kawasan Parlimen Sepanggar yang dikatakan berlarutan sejak sekian lama.

Difahamkan, kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada poster Pakatan Harapan yang mendakwa masalah air sebagai antara masalah utama di Sepanggar yang turut tular di media sosial.

Calon Harapan Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, perlawaan itu sebagai membalas kepada kenyataan akhbar yang dibuat ahli parlimen Sepanggar pada 15 November lalu.

Katanya, Azis mendakwa masalah itu sepatutnya ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, yang ketika ini disandang, Peto Galim wakil dari Pakatan Harapan sendiri.

“Datuk Azis bersikap lepas tangan dengan menuding jari kepada orang lain apabila membicarakan isu air yang tidak berkesudahan di kawasan Parlimen Sepanggar

“Jangan lepas tangan dan tunding jari kepada orang lain. Sebarang hal melibatkan pembangunan Sepanggar didebatkan secara terbuka,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Turut hadir, ADUN Inanam, Peto Galim dan Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook.

Mustapha berkata, perdebatan secara terbuka itu juga sebagai meraikan semangat demokrasi di negara ini.

“Biarlah rakyat sendiri yang menilai keberkesanan gerak kerja yang bakal dicadangkan untuk Parlimen Sepanggar,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Mustapha turut mengumumkan 20 Harapan yang digariskan untuk Parlimen Sepanggar sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, ia adalah manifesto tempatan bagi kawasan Parlimen Sepanggar yang merangkumi 20 komitmen dan lima asas pembangunan.

“Dokumen ini dilancarkan untuk memastikan Sepanggar dibangunkan secara holistik dan sistematik.

“Permasalahan yang berterusan seperti ketiadaan air, jalan raya berlubang dan kesesakan lalu lintas yang kronik menjadi tumpuan Pakatan Harapan kesejahteraan rakyat dapat digapai bersama.

“Kemuncak pencapaian diletakkan dalam “Roadmap 20 Harapan” ialah untuk mencapai status “Sepanggar Mampan” atau “Sustainable Sepanggar”,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|