PRU15: Kenny pertaruh pencapaian sebagai bekas ADUN tawan kerusi Penampang

PRU15: Kenny pertaruh pencapaian sebagai bekas ADUN tawan kerusi Penampang

Penampang: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Penampang, Kenny Chua, mempertaruhkan rekod pencapaiannya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam bagi meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun menganggap dirinya sebagai calon ‘underdog’ tetapi beliau optimis mampu memberi cabaran yang sengit di kerusi yang dipertahankan Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking selain turut ditandingi bakal Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick itu.

Malah, dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat Penampang sepanjang kempen PRU15 setakat ini, beliau berkemungkinan mampu menjadi ‘giant killer’ bagi menidakkan kemenangan Darell yang menyandang kerusi itu sejak dua penggal lalu.

Katanya, beliau percaya rakyat di Penampang kini lebih bijak untuk menilai calon yang sesuai menjadi pemimpin masyarakat untuk daerah ini setelah dua penggal di bawah Darell.

“Tidak dinafikan dua calon berkenaan (Darell dan Ewon) mempunyai kelebihan berikutan masing-masing memegang jawatan timbalan presiden dan bakal presiden parti tetapi saya juga ada kelebihan sebagai calon kerajaan.

“Jika mahu dibandingkan kekerapan turun padang, saya lebih mendahului mereka. Oleh itu, saya rasa perkara ini lebih penting kerana pengundi di sini mahu wakil rakyat yang boleh sentiasa bersama mereka dan boleh menyelesaikan masalah rakyat.

“Selain itu, trek rekod saya sebagai bekas ADUN Inanam sebelum juga pastinya menjadi kelebihan dalam memenangi pilihan raya kali ini,” katanya, di sini.

Beliau berkata, selepas menjadi ADUN Inanam pada 2018, misinya ialah terus memperbaiki balai raya, jalan-jalan kampung dan menaik taraf perniagaan di peringkat kampung melalui eko pelancongan.

“Saya juga menggunakan dana peribadi untuk menaik taraf tiga klinik kesihatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dengan melakukan pembaikan dari segi infrastruktur dan keperluan di dalam klinik bagi manfaat pesakit,” katanya.

Beliau berkata, semua pendekatan positif yang pernah dibawanya di Inanam sebelum ini bakal diteruskan sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Penampang.

“Sudah tentu segala perkara positif dilakukan di Inanam akan kita teruskan di Penampang sekiranya memenangi PRU-15. Ini penting untuk mendekatkan saya dengan rakyat di Penampang.

“Kita memerlukan seorang wakil rakyat yang mudah didekati dan ditemui setiap hari. Saya sendiri juga senang ditemui ketika bergelar ADUN di Inanam dahulu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|