PRU15: Seramai 2,981 pengundi awal di Kem Lok Kawi

PRU15: Seramai 2,981 pengundi awal di Kem Lok Kawi

Putatan: Seramai 2,981 warga Kem Lok Kawi yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasangan menjalani proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Putatan, hari ini.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab berkata, ia membolehkan anggota tentera melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab hadir membuang undi di pusat pengundian awal di Sekolah Agama Rakyat, Kem Lok Kawi.

“Di Kem Lok Kawi ini terdapat lebih kurang 2,900 pengundi awal yang akan membuang undi manakala secara keseluruhannya bagi tentera darat di Sabah adalah lebih kurang 6,000 orang.

“InsyaAllah, di sini kita membuat proses pemeriksaan balas, iaitu tiap-tiap pasukan akan menentukan anggota mereka masing-masing.

“Sekiranya tidak ada aral melintang, dijangkakan secara keseluruhannya sebanyak lebih kurang 72 peratus daripada pengundi akan membuang undi di sini, tidak termasuk undi pos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir membuang undi bersama-sama isterinya, Datin Zarina Alif.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, proses pengundian dijalankan secara berperingkat bagi memastikan kelancarannya yang dijangka berlangsung sehingga sekitar 5 petang ini.

“Di sini kita telah melaksanakan proses pembuangan undi secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan.

“Kita sudah sediakan ‘rotation’ agar mereka melaksanakan pengundian mengikut unit masing-masing,” katanya lagi.

Tambah beliau, sebanyak 12 pusat pengundian awal dibuka bagi pengundian awal tentera darat di negeri ini, termasuk di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Berdasarkan tinjauan awal pagi tadi, anggota tentera dan pasangan telah mula memenuhi perkarangan pusat pengundian awal bermula jam 7.30 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|