PRU15: 3,476 permit ceramah dan kempen diluluskan setakat ini

PRU15: 3,476 permit ceramah dan kempen diluluskan setakat ini

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sudah meluluskan 520 permit ceramah dan kempen dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan permit adalah sebanyak 3,476 sepanjang 10 hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di seluruh negeri ini.

Datuk Idris Abdullah membuang undi di IPK Sabah, Kota Kinabalu hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, berdasarkan jumlah berkenaan, Lahad Datu mencatatkan kelulusan 93 permit dan seterusnya menjadi jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, polis turut menerima sebanyak 14 laporan polis dan menjadikan jumlah keseluruhan laporan diterima adalah sebanyak 85 laporan.

“Daripada 85 laporan diterima sepanjang PRU15, polis sudah membuka 15 sudah kertas siasatan setakat ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai proses pengundian awal, Idris berkata, seramai 11,835 warga PDRM Kontinjen Sabah berdaftar sebagai pengundi awal.

Katanya, ia merangkumi 9,116 pegawai dan anggota termasuk pasangan bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengundi awal manakala 2,719 adalah pengundi pos.

“Proses pengundian awal dilaksanakan melalui 41 pusat mengundi dengan 47 saluran termasuk 1,086 yang akan membuang undi di dua saluran bagi pusat mengundi Mes Pegawai Kanan Polis IPK Sabah,” katanya.

Terdahulu, seramai 2,719 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Sabah sudah melaksanakan undi pos merangkumi 1,721 bagi PGA dalam kontinjen dan 90 PGA bagi luar kontinjen.

Manakala 295 lagi adalah pengundi dalam kontinjen Sabah tetapi berada di lokaliti luar kontinjen dan 119 undi pos dihantar melalui pengundi di luar kontinjen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|