PRU15: Sebulan saja selesai masalah banjir

PRU15: Sebulan saja selesai masalah banjir

Putatan: Dengan hanya RM100,000, masalah banjir di daerah ini didakwa boleh diselesaikan dalam jangka masa sebulan.

Perkara itu disuarakan calon Parti Warisan (WARISAN) Parlimen Putatan, Ahmad Mohd Said sebagai mengulas langkah penyelesaian masalah banjir yang menghantui penduduk kawasan ini.

Katanya, isu itu akan diselesaikannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Beliau berkata, sebagai seorang jurutera awam berpengalaman beliau tahu apa yang harus dilakukan bagi menyelesaikan isu di beberapa kampung yang terbabit dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah ini.

Jelasnya, RTB itu, iaitu pembinaan sistem saliran konkrit bukannya menyelesaikan masalah, sebaliknya merumitkan lagi keadaan.

Namun, katanya penggunaan beberapa pam untuk mengepam air dari kawasan perumahan penduduk ke dalam saliran RTB boleh menyelesaikan masalah itu.

“Punca banjir adalah RTB dan penyelesaiannya adalah sistem ‘pump out’ termasuk beberapa teknik kejuruteraan mudah dengan menggunakan enjin pam air dapat menyelesaikan masalah banjir ini.

“Sistem ini lebih murah dan mudah tanpa perlu peruntukan besar sebagaimana projek RTB yang jelas satu pembaziran kerana tidak berfungsi,” katanya ditemui selepas ceramah perdana WARISAN, di sini, malam tadi.

Isu banjir yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat terutama selepas projek RTB dilaksanakan di sungai mati yang ada di kawasan ini menjejaskan ramai penduduk di sekitar Ulu Putatan, di sini.

Ahmad berkata, pemasangan pam yang berfungsi secara automatik adalah penyelesaian terbaik kepada masalah banjir di kawasan terbabit setelah RTB yang dibina hanya memburukkan keadaan.

“Projek RTB sudah dilaksanakan jadi takkan kita mahu robohkan pula, jadi kita hanya perlu pasang pam yang berfungsi secara automatik.

“Apabila kemarau, pam tidak hidup, ia hanya hidup apabila air mula bertakung dan pam itu akan mengepam air yang bertakung di kawasan perumahan penduduk ke dalam RTB bagi mengelak banjir.

“Dalam masa sebulan saja boleh selesai (masalah banjir) dengan hanya RM100,000 untuk memasang 10 pam di 10 kampung. Jadi, senang saja sebenarnya dan murah lagi,” katanya.

Kerusi Parlimen Putatan menyaksikan Ahmad berdepan saingan empat penjuru menentang penyandangnya, Awang Husaini Sahari (PH), Datuk Ir Shahelmey Yahya (BN) dan Poyne B Tudus @ Patrick Payne (PEJUANG).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|