PRU15: Pilih parti banyak berjasa, berwibawa – Mohamad

PRU15: Pilih parti banyak berjasa, berwibawa – Mohamad

Membakut: Pengundi perlu memilih calon dari parti yang banyak berjasa, berwibawa dan bertanggungjawab kepada rakyat serta negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kimanisv, Datuk Mohamad Alamin, berkata dalam hal itu BN adalah pilihan terbaik berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini.

Mohamad Alamin ketika berucap pada majlis Bersama Pimpinan GRS, Pimpinan Adat, UPPM dan JPKK.

Katanya, sebagai calon BN, beliau berjanji akan memberikan yang lebih baik berbanding sebelum ini jika dipilih semula mewakili rakyat Kimanis di Dewan Rakyat pada Sabtu ini.

“Saya merayu kepada pengundi pilihlah parti yang berjasa, berwibawa dan bertangungjawab kepada negara, rakyat dan kawasan, bukan retorik.

Mohamad Alamin bersama Mohd Ariffin Arif pada majlis berkenaan.

“Saya akan beri lebih baik berbanding sebelum ini dan saya bertuah kerana ada Datuk Arifin di Membakut, kita bekerja rapat malah ringankan kerja saya jika kita kerja bersama.

“Tidak macam di Bongawan kerana wakil rakyatnya bukan daripada kerajaan, tapi rakyat di sana mereka juga sudah bijak kerana mereka merasai kesengsaraan jika ada ADUN bukan mewakili kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Bersama Pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pimpinan Adat, UPPM dan JPKK yang turut dihadiri ADUN Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ketua UMNO Kimanis, berkata beliau yakin rakyat di Kimanis memahami apa isu dan aspirasi yang disampaikan BN dan beliau sendiri di Parlimen Kimanis.

“Apa perancangan jangka pendek dan panjang kita juga mereka (rakyat Kimanis) sudah faham dan mereka sudah mendapat maklumat tepat.

“Kita suadah ada jasa kepada negara, kepada sahabat, kepada kawasan, jadi mereka sudah lihat itu sebagai faktor pertimbangan yang diambil kira oleh setiap pengundi.

“Maknanya kita bukan retorik ketika kempen kerana kita ada bukti yang diberi kepada rakyat dan kawasan Kimanis,” katanya.

Mohamad berkata, pembangkang juga sudah tiada isu yang relevan pada PRU15 kerana isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah diperjuangkan BN dan GRS, termasuk merealisasikan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya di Kimanis beliau sendiri berjaya membawa projek infrastruktur untuk rakyat seperti jalan raya, jambatan gantung dan pendidikan, berbanding pembangkang yang tiada apa-apa dapat diberikan kepada rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|