Kota Kinabalu: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di dalam sebuah longkang di kawasan parkir pantai Tanjung Aru 1, di sini, pagi tadi.
Mayat lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis jam 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan mendapati terdapat mayat lelaki dalam keadaan terapung di longkang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan daripada Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah mendapati terdapat sedikit kesan kecederaan pada bahagian dahi mangsa yang dipercayai akibat terjatuh.
“Ketika ditemukan juga, mangsa lengkap berpakaian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, mangsa warga tempatan dan beralamat di Tanjung Aru berdasarkan MyKad yang ditemukan di dalam beg yang dibawanya.
“Polis sudah memanggil isteri mangsa untuk membuat pengecaman.
“Hasil maklumat melalui soal siasat mendedahkan mangsa keluar dari rumah petang sebelum hari kejadian dan tidak pulang sehingga pagi,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya juga menemukan kenderaan yang dinaiki mangsa iaitu motosikal miliknya pada jarak beberapa meter dari lokasi penemuan mayat mangsa.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) berikutan tiada unsur jenayah atau kesan pergelutan di lokasi kejadian.
“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta untuk hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.
-Deasoka