PRU15: Semangat setiakawan GRS-BN sambut Joniston di Pantai Dalit

PRU15: Semangat setiakawan GRS-BN sambut Joniston di Pantai Dalit

Tuaran: Semangat setiakawan jelas kelihatan pada program kempen Barisan Nasional (BN) untuk calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai di kawasan DUN Pantai Dalit, di sini.

Penyokong menunjukkan solidariti kepada Joniston, yang bertanding kerusi parlimen Tuaran, sebaik tiba di pusat daerah mengundi (PDM) BN Mengkabong, Telipok Rugading, dan Nongkolud, semalam.

Joniston bersama Jasnih dan penyokong BN di DUN Pantai Dalit, Tuaran.

Mereka turut memberikan sorakan kuat apabila Joniston melambai ke arah mereka.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran yang juga ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, turut hadir memberi jaminan bahawa jentera BN di kawasan Pantai Dalit akan memberikan yang terbaik untuk membawa kemenangan besar kepada calon GRS.

“Datuk Joniston adalah calon yang terbaik untuk memimpin Tuaran kerana beliau adalah seorang pemimpin berkaliber tinggi yang berjiwa setiakawan.

“Kita memerlukan seorang pemimpin seperti beliau yang lantang bersuara bersuara dan akan bersama rakyat dalam susah dan senang. Tidak seperti sesetengah individu yang mengkhianati semangat setia kawan untuk kepentingan diri,” katanya.

Dalam sesi kempen beliau, Joniston berterima kasih kepada penyokong BN dan menekankan kepentingan memperkukuh persahabatan GRS-BN yang menjadi kunci kepada kestabilan.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mempunyai seorang ahli parlimen daripada kerajaan negeri bagi mengukuhkan kedudukan negeri semasa rundingan dan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Pada PRU15, Joniston bertekad merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada penyandangnya, Datuk Madius Tangau (Pakatan Harapan).

Beliau juga menentang Jo-Anna Sue Henley Rampas (Warisan); Muminin Kalingkong @Norbinsha (Parti Pejuang Tanah Air); Bobby Lewat (bebas), dan Datuk Noortaip Suhaili (bebas).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|