PRU15: WARISAN mohon sokongan masyarakat KDM

PRU15: WARISAN mohon sokongan masyarakat KDM

Penampang: Parti Warisan (WARISAN) mengharapkan sokongan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini kerana mereka telah meletakkan calon-calon yang berkebolehan untuk bertanding di beberapa kerusi.

“Saya berharap agar masyarakat KDM memberi sokongan kepada kita agar dapat kita ketengahkan anak-anak muda, kerana ia juga termasuk dalam proses keremajaan.

“Jika Rishi Sunak boleh menjadi Perdana Menteri Britain, sebuah negara yang maju, pada umur muda, kenapa kita tidak boleh ada calon KDM muda yang berasal dari Tuaran, Pensiangan atau daerah-daerah lain?

“Sebagai contoh, kita telah meletakkan calon yang berkebolehan seperti bekas diplomat, Datuk Jilid Kuminding untuk kerusi Parlimen Kota Marudu dan peguam serta bekas ratu cantik, Jo-Anna Rampas untuk kerusi Parlimen Tuaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Ceramah Perdana Parlimen Penampang bersama WARISAN di sini, semalam.

Sementara itu, Shafie berkata, setakat ini, beliau melihat respon yang begitu menggalakkan daripada masyarakat umum terhadap WARISAN.

“Setakat ini, sesi kempen kita dalam musim PRU berjalan dengan lancar dan tidak ada keadaan kacau bilau yang berlaku.

“Kita juga dapati bahawa respon masyarakat di Penampang amat mengalakkan dan apabila saya mengadakan jelajah ke seluruh pelusuk Sabah, dari Kalabakan, Tuaran, Beluran, Sipitang dan Kimanis, saya nampak sambutan rakyat amat mengalakkan.

“Saya berharap ianya akan dapat diterjemahkan menjadi kenyataan, tentang apa yang disuarakan oleh rakyat Malaysia di Sabah, agar dapat mempertahankan dan mengembalikan hak mereka untuk kebaikan negara,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|