PRU15: Selesaikan masalah utama menjadi keutamaan PH – Ewon

PRU15: Selesaikan masalah utama menjadi keutamaan PH – Ewon

Penampang: Menyelesaikan masalah utama yang berlanjutan sejak sekian lama menjadi keutamaan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh rakyat Penampang mengenai beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian sekiranya berjaya mendapat mandat daripada rakyat Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Katanya, antara isu yang menjadi tumpuan ialah banjir, kesesakan lalulintas, perkhidmatan jabatan kerajaan yang lebih berkualiti, keperluan sekolah dan hospital penuh di daerah berkenaan.

“Saya mendengar luahan rakyat Penampang yang mahukan penambahbaikan terutamanya masalah banjir yang belum lagi selesai sehingga kini.

“Walaupun sudah disuarakan oleh Ahli Parlimen ketika ini, namun ia masih belum ada penyelesaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman senarai lima calon PH daripada UPKO yang akan bertanding pada PRU15, di Ibu Pejabat UPKO, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sepanjang dia minggu berkampung di Penampang, beliau mendengar pelbagai isu-isu yang menjadi rungutan rakyat kawasan ini.

Katanya, sudah semestinya Pakatan Harapan akan memberi perhatian penuh dan mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi rakyat di sini.

“Dalam beberapa hari ini, kita akan melancarkan Tawaran PH kepada rakyat Sabah dan saya percaya sebahagian daripada itu adalah untuk menyelesaikan isu rakyat Penampang.

“Selaku calon PH Penampang, ini antara lain tanggungjawab saya nanti untuk mengangkat penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung penerimaan rakyat Penampang, Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, beliau yakin mampu memenangi pilihan raya ini berdasarkan sokongan dan penerimaan rakyat Penampang.

“Setakat hari ini saya amat yakin dengan penerimaan yang diberikan oleh rakyat Penampang kepada Pakatan Harapan, calon Perdana Menteri PH dan calon PH Parlimen Penampang.

“Peluang memang ada walaupun saya mengakui cabaran di Parlimen Penampang ini agak besar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|