62 mangsa banjir di Kunak dipindahkan ke PPS

62 mangsa banjir di Kunak dipindahkan ke PPS

Kunak: Seramai 62 orang membabitkan 13 keluarga di Kampung Airport, Tun Fuad, di sini, dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Akibat banjir, awal pagi tadi.

Pecahan mangsa iaitu 18 lelaki dewasa, 26 wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.

Rumah yang terjejas akibat banjir di Kampung Airport Tun Fuad, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad.

Jumlah rumah di Kampung Airport, Tun Fuad yang terjejas iaitu sebanyak 13 rumah.

Turut terjejas banjir Kampung Bukit Tajam, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berlaku bencana banjir, jam 4.17 pagi.

Pasukan bomba dan penduduk kampung memindahkan mangsa banjir di Kampung Bukit Tajam, Kunak.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak bertindak ke lokasi kejadian bagi operasi memindahkan mangsa banjir.

“Setibanya di lokasi kejadian pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan yang dinaiki air di Kampung Airport, Tun Fuad dan Kampung Bukit Tajam.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan bot penduduk kampung dan bot Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Beberapa penduduk kampung dipindahkan manakala ada juga penduduk kampung yang berpindah sendiri.

“Semua mangsa dari Kampung Airport ditempatkan di Dewan Kampung Airport Tun Fuad,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika menjalankan pemantauan sebuah jentera terperangkap namun dalam keadaan selamat.

“Bot dari BBP Lahad Datu turut dikerah ke lokasi banjir.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|