PRU15: Saya orang Sungai dari Kinabatangan – Bung Moktar

PRU15: Saya orang Sungai dari Kinabatangan – Bung Moktar

Kimanis: Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiada orang luar dalam UMNO atau BN Sabah yang menyebabkan ia boleh dipanggil bukan parti tempatan (local).

Sebaliknya, Ketua UMNO Sabah itu berkata pembangkang di Sabah hanya menggunakan isu parti ‘local’ sebagai dakyah mengelirukan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Apabila Dewan Rakyat bubar, mereka kata sokong parti ‘local’, tapi saya lihat semua orang ‘local’. Saya orang Sungai dari Kinabatangan, begitu juga Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dia orang Bajau dari Tuaran.

“Saya tidak nampak Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi Ketua UMNO Bahagian di Sabah. Malah, UMNO Sabah ada autonominya sendiri,” katanya pada Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 3 Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, jika ada yang mengatakan UMNO Sabah parti Semenanjung, mereka hanya mahu mengelirukan rakyat kerana jelas tiada orang dari Semenanjung menjadi pemimpin BN atau UMNO di Sabah.

Bukan setakat itu, katanya BN dan UMNO Sabah memiliki keunikannya sendiri kerana memiliki pemimpin dan ahli pelbagai etnik yang ada di Sabah termasuk Bajau Semporna.

Pada masa sama, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti yang berasal dari Sabah tidak semestinya mampu mentadbir Sabah dengan baik.

“Dulu kerajaan USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan BERJAYA (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah) diikuti Parti Bersatu Sabah (PBS) tapi Sabah tidak juga maju.

“Saya bukan menyalahkan mana-mana parti tapi realitinya Sabah mulai membangun apabila BN mengambil-alih Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|