Ewon bertanding di Penampang, UPKO Kota Belud beri ‘lampu hijau’

Ewon bertanding di Penampang, UPKO Kota Belud beri ‘lampu hijau’

Kota Belud: Pimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud memberi restu kepada ketua bahagian, Datuk Ewon Benedick untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Penampang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Tetap UPKO Kota Belud, Johnny Gilong berkata, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian sudah membuktikan perkhidmatan cemerlang di kawasan mereka.

Katanya, beliau amat yakin Ewon mampu memberi perkhidmatan di kawasan mereka dan Penampang dengan cemerlang.

“Kami mahu Ewon bukan hanya memimpin Kadamaian, kami mahu beliau jugan memimpin Sabah dan Malaysia, melalui Penampang.

“Kami berharap penduduk Penampang akan memberi sokongan kepada beliau agar dapat membuktikan perkhidmatan dan kepimpinannya kepada daerah tersebut selepas menang pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat khas UPKO Kota Belud di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, hari ini.

Menurutnya, rakyat Kadamaian sememangnya mengetahui bahawa bapa Ewon berasal dari Penampang, manakala ibunya dari Kadamaian.

“Kami telah memberi kemenangan kepada Ewon pada tahun 2018 dan 2020. Kami percaya beliau boleh memberi perkhidmatan cemerlang untuk kedua-dua daerah ibu dan bapanya,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat khas itu, Ewon turut menjelaskan bahawa PRU ini bukan hanya untuk memilih Wakil Rakyat Parlimen tetapi juga akan memilih Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, PH mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas iaitu Anwar Ibrahim yang mengetuai parti berbilang kaum iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tidak pernah dalam sejarah pilihanraya umum kita, calon Perdana Menteri itu mengetuai parti yang berbilang kaum, selama ini daripada parti untuk satu kaum sahaja.

“Kita juga tidak boleh mencaturkan hak Sabah melalui konsep ‘menang dulu baru runding’ kerana ia seolah-olah satu bentuk perjudian politik. Hak Sabah mesti diperjuangkan dengan jelas, bukan untuk diperdagangkan selepas pilihanraya.

“Warisan mulai berubah selepas Mahathir menamakan Datuk Shafie Apdal sebagai seorang yang boleh diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Fokus Warisan selepas itu adalah ke arah itu. Itu yang saya boleh lihat sebagai rakan yang telah menjadikan beliau sebagai Ketua Menteri.

“Itu sebabnya kita tidak melihat calon-calon Warisan di Semenanjung ataupun pemimpin-pemimpin Warisan Sabah bercakap tentang hak-hak Sabah apabila mereka membuka Bahagian-Bahagian mereka di Semenanjung,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur UPKO Kota Belud, Dr Rizoh Bosorang turut mengulangi restu dan sokongan yang sama kepada Ewon.

“Saya yakin pengalaman beliau dalam kabinet dan perkhidmatan bersama Wakil-Wakil Rakyat Penampang sebelum ini terutama Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Donald Mojuntin dan Datuk Philip Lasimbang.

“Beliau dapat merencana tadbir urus pembangunan Penampang yang cukup baik sepertimana beliau laksanakan di Kadamaian melalui Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Penasihat UPKO Kota Belud, Jaintin Molondoi turut menyatakan akan memastikan ahli keluarga dan saudara mara yang berkahwin, menetap dan mengundi di Penampang agar memberikan sokongan kepada Ewon.

“Saya sendiri mempunyai ahli keluarga yang telah berkahwin di Penampang. Maka kami akan berkempen melalui keluarga.

“Kami akan memberitahu mereka apa yang telah Ewon buat di Kadamaian sebagai panduan agar mereka menyokong beliau dalam pilihanraya ini,” katanya.

Manakala, Ketua Wanita UPKO Kota Belud, Datin Saniah Tuak berkata beliau yakin Ewon akan mampu memberikan khidmat terbaik buat Penampang.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahu anak akan berkhidmat dan membantu kedua-dua ibu dan bapanya.

“Mengenali Ewon dan bagaimana dia menyayangi ibu dan berkhidmat untuk daerah kampung ibunya, saya juga sangat yakin beliau dapat berkhidmat untuk daerah kampung bapanya. Ini akan menyempurnakan tanggungjawab beliau sebagai seorang anak,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|