Dua ditahan terbabit aktiviti bom ikan

Dua ditahan terbabit aktiviti bom ikan

Lahad Datu: Dua lelaki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan aktiviti bom ikan di sekitar perairan Tabawan-Kunak, semalam.

Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bot pam itu ditahan bot peronda Maritim Malaysia kira-kira jam 4 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Dua lelaki ditahan terbabit aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Tabawan – Kunak, Lahad Datu.

Pengarah Maritim Malaysia Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya bertindak atas maklumat perisikan dan aduan awam.

Katanya, sebaik berjaya dikesan, pasukan operasi terus bertindak menahan pam bot tidak bernombor berkenaan yang membawa muatan pelbagai jenis ikan.

Peralatan menagih syabu yang dirampas.

“Kedua-dua suspek berusia 35 dan 49 tahun itu berjaya ditahan di lokasi sekitar 1.7 batu nautika Utara Kampung Pangi, Kunak.

“Semua ikan-ikan yang ditangkap dipercayai hasil kegiatan bom ikan di sekitar perairan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menemui sebuah kompresor yang dipercayai digunakan untuk menyelam bagi memasang bom di dasar laut.

“Namun begitu, tiada bahan letupan ditemui kerana suspek dipercayak bertindak membuang bahan letupan ke laut sebaik menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia.

“Salah seorang suspek juga dilaporkan cuba bertindak agresif terhadap anggota Maritim Malaysia yang menjalankan tugas namun berjaya ditahan,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan turut menemui satu paket lutsinar berisi hablur kristal yang dipercayai adalah syabu berat 0.1gram.

Katanya, pam bot dan kedua-dua suspek terus ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, pasukan Maritim Malaysia Lahad Datu akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar pulau di perairan daerah ini.

Katanya, ini bukan kali pertama aktiviti bom ikan di perairan Lahad Datu dan pihaknya juga banyak aduan awam berhubung perkara sama.

“Aktiviti bom ikan ini perlu dibanteras kerana ia merosakkan ekosistem laut. Banyak ikan-ikan yang mati dan terumbu yang rosak akibat daripada bom yang diletupkan.

“Maritim Malaysia menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti bom ikan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim supaya menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|