MAFI rangka pelan strategik holistik bagi pembangunan sektor perikanan

MAFI rangka pelan strategik holistik bagi pembangunan sektor perikanan

Paitan: Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia sekali gus menunjukkan sumbangan besar sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

Ronald menyerahkan geran permulaan PNK Paitan bernilai RM50,000.00 kepada salah seorang penerima.

“Selain itu, antara fungsi LKIM adalah menggalakkan kemajuan ekonomi dan sosial Persatuan Nelayan dan kini, terdapat 103 Persatuan Nelayan yang diterajui oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 16 buah Persatuan Nelayan termasuk Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) dan 15 lagi Persatuan Nelayan Kawasan dengan keahlian seramai 13,159 nelayan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan kali pertama yang diadakan di Pentas Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan, Beluran, hari ini.

Jelas beliau, dengan penubuhan PNK Paitan ini, ia dapat memajukan kepentingan ekonomi dan sosial ahli-ahlinya selain menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat nelayan setempat.

Tambahan lagi, PNK Paitan seterusnya memberi peluang kepada nelayan-nelayan di daerah Paitan khususnya, untuk lebih mudah menerima manfaat dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan melalui LKIM.

“LKIM berperanan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan.

“Pengurusan LKIM pula sentiasa komited memberikan sokongan kepada PNK untuk terus mempelbagaikan pendapatan melalui perniagaan.

“Ahli PNK akan turut menerima manfaat daripada keuntungan hasil dari projek perniagaan yang dilaksanakan oleh PNK,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan melalui LKIM mengadakan pelbagai program dan telah memberikan bantuan kepada nelayan di Paitan antaranya pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) RM300, Subsidi Minyak Nelayan Diesel & Petrol (RM1.65 sen/liter), Pinjaman Dana Nelayan, Pembangunan Pasar Nelayan antara lain.

Dalam majlis yang sama, Ronald turut menyerahkan geran permulaan PNK Paitan bernilai RM50,000.00.

“Penyaluran geran permulaan ini sebagai bantuan penubuhan untuk melaksanakan projek-projek ekonomi dan program-program sosio-ekonomi ahli yang berdaftar di PNK Paitan.

“Dengan penyerahan bantuan ini, ianya secara tidak langsung dapat membantu PNK Paitan dalam usaha membangunkan masyarakat nelayan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kegiatan tahap sosioekonomi masyarakat nelayan khususnya PNK Paitan, banyak aktiviti ekonomi yang bakal dilaksanakan.

“Antaranya ialah Projek Agropelancongan yang merupakan Pelantar Bagang untuk menangkap ikan bilis dan aktiviti memancing yang dilengkapi dengan kemudahan tempat rehat dan memasak, Projek Pemasaran Ikan dan Hasil Laut (Pusat Pengumpulan, Pengedaran dan Pemasaran Hasil Laut) serta Projek Perkhidmatan Kontrak dan Pembekalan.

“Pelbagai manfaat diperolehi dari segi sosial dan kemudahan sekiranya menjadi ahli persatuan nelayan termasuk pelbagai bantuan seperti bencana alam (bagi yang layak), pinjaman skim untuk nelayan (bagi yang layak), caruman PERKESO, perumahan nelayan, Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) fokus untuk membantu anak-anak nelayan untuk belajar, Kumpulan Nelayan Wanita (KUNITA), Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) yang dapat membantu menggalakkan lagi kehidupan sosial yang lebih positif serta banyak kemudahan lain,” katanya.

Tegas beliau, MAFI melalui LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|