Aspirasi anak-anak muda diambil kira dalam perancangan dasar negara

Aspirasi anak-anak muda diambil kira dalam perancangan dasar negara

Telupid: Aspirasi anak-anak muda akan diambil kira pihak kerajaan dalam perancangan dasar-dasar negara supaya golongan ini tidak terpinggir.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kelayakan pengundi 18 tahun sudah diwartakan pada Disember 2021 yang lalu.

Dr Ronald bersama belia pada sesi Program Pemimpin Bersama Anak Muda dan Pelancaran Troop183 di Telupid, semalam.

“Ia bermaksud anak muda di negara ini yang berusia 18 hingga 21 tahun kini mempunyai hak untuk mengundi di PRU-15 yang akan datang.

“Ini merupakan peluang pertama kali yang disediakan kerajaan dengan memberi peluang bagi mereka untuk turut serta dalam proses demokrasi negara kita,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Ronald berkata, beliau amat bangga dengan sokongan kehadiran lebih 400 belia pada sesi Program Pemimpin Bersama Anak Muda dan Pelancaran Troop183 di Telupid, semalam.

Katanya, program berkenaan merupakan aspirasi golongan muda untuk diangkat selain mendengar masalah anak-anak muda khususnya di kawasan luar bandar.

“Pada sesi berdialog santai yang diadakan, saya mendengar dengan teliti keluhan dan aspirasi masa depan anak-anak muda ini dan juga merasai semangat yang ditunjukkan oleh mereka untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan.

“Platform ini dilihat sangat dekat di hati mereka di mana kami dapat mesra bertukar pendapat dan melontarkan buah fikiran untuk memahami lebih percaturan politik semasa.

“Semua ini perlu kita ambil kira melalui perancangan yang dibuat oleh pelbagai Kementerian yang melihat dan menyentuh kepada aspirasi anak muda,” katanya.

Ronald berkata, mereka akan lebih bertanggungjawab untuk mengangkat demokrasi secara efisyen dan teratur dengan membuang undi pada pilihan raya.

“Jadi anak muda semua diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab ini dan keluar secara beramai-ramai untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15 pada 19 November nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Samad Jambri dan ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|