PRU15: Pengundi muda teruja mengundi kali pertama

PRU15: Pengundi muda teruja mengundi kali pertama

Putatan: Keterujaan anak muda melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat disaksikan menerusi kehadiran awal mereka ke pusat pengundian awal, di sini, hari ini.

Salah seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Kem Lok Kawi, Muhamad Aryadi Abd Rizam, 24, memberitahu dia sudah bersedia di pusat pengundian awal sejak jam 8 pagi.

“Saya berasa sangat gembira, lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama saya mengundi sekali gus menjalankan tanggungjawab sebagai anggota tentera.

“Saya berasal dari Terengganu dan sudah hampir tiga tahun berkhidmat di kem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuang undi di pusat pengundian awal Sekolah Agama Rakyat, Kem Lok Kawi, hari ini.

Seorang lagi anggota TDM yang ditemui, Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 24, berkata ini juga merupakan kali pertama beliau membuang undi.

Pemuda yang berasal dari Kelantan itu berkata beliau sudah hampir empat tahun menabur khidmat di negeri ini.

“Saya merasa bangga kerana dapat keluar mengundi untuk pertama kalinya hari ini, saya sangat bersemangat dan sudah berada di sini sejak jam 7 pagi tadi.

“Secara keseluruhannya, melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memang memuaskan, proses pengundian berjalan dengan lancar dan cepat,” katanya.

Mereka merupakan antara 2,981 warga Kem Lok Kawi yang menjalani proses pengundian awal PRU15, bagi Parlimen Putatan, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|