PRU15: Libaran bakal miliki mercu tanda baharu

PRU15: Libaran bakal miliki mercu tanda baharu

Sandakan: Parlimen Libaran bakal memiliki satu mercu tanda baharu menerusi pembinaan sebuah jambatan yang akan direalisasikan tidak lama lagi.

Jambatan tersebut adalah sebahagian daripada projek pembinaan Jalan Semawang – Kuala Gum-Gum.

Calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, majlis pecah tanah jambatan itu sepatutnya diadakan pada esok tetapi ditangguhkan kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kalau semua pernah nampak satu jalan di antara Johor Bahru dan Desaru, itulah jambatan yang akan kita buat di sini. Majlis pecah tanah ditangguhkan sebab PRU15 tetapi mungkin akan dibuat pada 15 Disember,” katanya pada Program Sentuhan Kasih bersama penduduk Kampung Pangkalan Baru di Pekan Muhibbah, Rancangan Sungai Manila, di sini, pagi tadi.

Suhaimi berkata pembinaan jalan raya dan jambatan itu sekali gus akan membantu membangunkan industri pelancongan di Sungai Manila.

Katanya, bagi mencapai ke arah itu beliau bersama ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat berusaha untuk melengkapkan prasarana di kawasan tersebut termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Kami mahu membangunkan tempat ini untuk pelancongan ‘river cruise’. Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap tempat ini akan menjadi salah satu destinasi pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelancong luar.

“Ini kerana kita tahu kawasan Sungai Manila ini kaya dengan pelbagai sumber alam yang sepatutnya kita dedahkan kepada negara luar,” jelasnya.

Serentak dengan itu, Suhaimi mengajak penduduk Sungai Manila agar meneruskan sokongan kepada BN untuk memimpin kerajaan bagi memastikan semua yang dirancang akan dapat direalisasikan.

Jelasnya, usaha itu tidak boleh direalisasikan dalam sekelip mata umpama membuat permintaan dengan lampu Aladdin.

“Kita akan rancang dan pastikan perancangan itu dilaksanakan. Kita mahu memacu ekonomi di Libaran yang boleh memberi impak kepada penduduk secara keseluruhannya. Tetapi kita (BN) memerlukan mandat daripada rakyat pada 19 November ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|