Perjuangan WARISAN samar, mana mungkin tanding 52 kerusi boleh tawan Putrajaya

Perjuangan WARISAN samar, mana mungkin tanding 52 kerusi boleh tawan Putrajaya

Kota Kinabalu: Matematik mudah dalam misi menawan Putrajaya adalah bertanding sekurang-kurangnya kerusi yang boleh menyumbang majoriti mudah.

Sebaliknya WARISAN yang mencanang sentimen Borneo Bloc seolah-olah menolak akan hakikat menubuhkan sesuatu kerajaan perlu satu gabungan dan bukannya berhaluan sendiri.

Setiausaha Penerangan BN, Ibrahim Dzul Aklamat berkata, jika WARISAN menang dalam beberapa kerusi dalam PRU15 nanti pun, pada hakikatnya mereka tidak boleh membentuk kerajaan dan hanya meminta perhatian daripada sebuah gabungan parti besar untuk tujuan demikian.

“Kita tahu mereka mempunyai 25 kerusi di Sabah, satu di Labuan dan 26 kerusi di Semenanjung Malaysia untuk dipertandingkan dalam kerusi Parlimen PRU15 kali ini.

“Jadi sekiranya rasional mereka menang sekurang-kurangnya tujuh atau lapan kerusi, adakah mereka dapat membentuk kerajaan?,” katanya.

Menurut beliau lagi, untuk membentuk kerajaan persekutuan, mereka terpaksa bergabung dengan PH atau PN kerana parti-parti ini merupakan satu blok yang besar dan WARISAN setakat ini hanya mendedahkan mereka mengamalkan sikap terbuka sahaja.

“Mereka terpaksa juga bergabung dengan mana-mana parti yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak namun, hakikatnya mereka kini angkuh tidak mahu bergabung dengan mana-mana gabungan sedangkan di Sabah pun, mereka tidak sehaluan dengan PH,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|